Gadis bernama Farah Liyana
“Hari ini genap 24 tahun usiaku. Aku amat bersyukur kerana masih diberi peluang untuk terus hidup di muka bumi Allah ini. Ya Allah, aku memohon segala petunjuk dariMU untuk terus hidup. Aku sudah tidak cukup kuat untuk meneruskan lagi kehidupan ini, kadang-kadang aku berasa amat lemah. Ya Allah kepadaMU aku berserah, kepadaMU juga aku memohon kekuatan dan petunjuk. Amin” usai berdoa dan mengemas telekung yang digunakan, Farah Liyana kembali menyambung menjahit pakaian yang tertangguh tadi. Begitulah kehidupan seorang gadis yang bernama Farah Liyana, yang bekerja mengambil upah menjahit pakaian bagi membantu ibunya untuk meneruskan kehidupan mereka sekeluarga. Ibunya merupakan seorang penjual kuih dan nasi lemak. Di sebelah pagi Farah Liyana akan membantu ibunya di gerai, manakala di sebelah petang Farah Liyana akan meneruskan menjahit pakaian pelanggannya.
“Farah, kenapa mak tengok kamu ni macam kurang sihat saja akhir-akhir ni. Kamu demam ke?” Soal ibunya yang sedar akan perubahan anak sulungnya itu. “Mak, Farah ok saja. Sihat walafiat, mak jangan risau ya” Farah Liyana sedaya mungkin menceriakan wajahnya untuk menggelakkan ibunya mengetahui apa yang telah dilaluinya selama ini. “Tadi Atira telefon mak, dia minta duit belanja. Katanya, duit yang kita kirimkan bulan lepas dah habis” sayu suara ibunya menyampaikan hasrat adiknya itu. “Takpe mak, nanti Farah pergi ‘bank in’ kan duit untuk Atira ye. Mak janganlah sedih-sedih macam ni, Atira kan belajar dekat sana. Kita mesti bagi sokongan dekat dia mak, mungkin dia nak beli buku rujukan dan buku latihan. Lagipun, belajar dekat universiti tu bukannya senang mak. Kalau tak cukup buku rujukan, memang susah nak belajar” jawab Farah lembut sambil memeluk erat ibunya. “Mak, Farah sayang mak dan Atira. Farah nak mak dan Atira hidup bahagia ye mak” bisik Farah sayu sambil ibunya membalas pelukkan Farah Liyana.
Hal yang sebaliknya di kampus tempat Atira Liyana menuntut ilmu. “Weh Tira, kau pe cer ni? Jadi ke tidak ikut kitaorang naik Genting hujung minggu ni?” soal Fatin rakan sebilik Atira Liyana. “Jadilah, kau janganlah mengelabah. Aku dah mintak duit kat mak aku semalam, esok kakak aku ‘bank in’ kan. So, aku comfirm la pergi” balas Atira Liyana. “Wah, untung ye jadi kau. Tak cukup duit ja minta kat kampung. Eh, kakak kau kerja apa ye? Senang-senang je kau mintak duit dekat dia?” Fatin berasa kagum dengan Atira Liyana kerana kakaknya sentiasa akan menghulurkan duit kepada Atira Liyana walaupun Atira Liyana sering membohongi kakaknya yang konon tidak cukup duit untuk membeli buku rujukan dan buku latihan. “Kau tak payah banyak tanya lah kakak aku kerja apa, yang penting tiap-tiap bulan dia masukkan duit kat aku” Atira Liyana cuba mengelak daripada menjawab soalan tersebut. “Oklah, aku tak tanya lagi” Fatin mengalah.
“Cik Farah, saya harap Cik Farah dapat terima apa yang ingin saya perkatakan. Setelah menjalankan pemeriksaan terhadap Cik Farah, saya dapati Cik Farah menghidap Lukimia. Lukimia ini merupakan penyakit yang mempunyai lebihan darah putih dan sel-sel darah putih akan memakan sel-sel darah merah Cik Farah. Tapi Cik Farah jangan bimbang kerana penyakit Cik Farah ini masih di tahap awal. Cik Farah masih berpeluang untuk mengubatinya dengan memakan ubat mengikut masa yang ditetapkan. Sekiranya Cik Farah tidak mengikut saranan saya, penyakit Cik Farah ini akan mencapai tahap bahaya di mana Cik Farah akan kehilangan nyawa Cik Farah sendiri” jelas Doktor Muhammad kepada Farah Liyana yang hanya mampu menangis mengenang nasib yang bakal terjadi pada masa akan datang.
“Farah!!!” jerit Balqis. “Ish kau ni Balqis, kenapa menjerit? Sakit telinga aku tau tak?” balas Farah Liyana. “Tau pun sakit telinga, tadi aku panggil kau banyak kali tapi kau dok sedap mengelamun. Kau teringatkan siapa ha?” duga Balqis sambil tergelak kecil. “Jangan nak merepek ye, aku cuma teringatkan peristiwa 3 tahun lepas” Balqis sudah melopongkan mulutnya untuk mendengar cerita selanjutnya dari Farah Liyana, tetapi Farah hanya berhenti setakat itu sahaja. “Woi, apa ni? Cerita la habis-habis, tak seronok la cerita sekerat jalan macam ni” Balqis tidak puas hati, Farah Liyana hanya menggelengkan kepala melihat riak muka tidak puas hati yang ditunjukkan oleh Balqis. Balqis merupakan sahabat baik Farah Liyana semenjak mereka di bangku sekolah lagi. Balqis juga merupakan seorang pelajar semester akhir Ijazah Sarjana Muda Jurusan Perakaunan di salah sebuah universiti tempatan. Jika bukan masalah kesihatan yang menganggu Farah Liyana, jurusan yang sama juga akan diceburinya 3 tahun lepas. Farah Liyana terpaksa membohongi ibunya dengan mengatakan dia tidak layak menyambung pelajaran ke universiti, ibunya yang berasa hairan kerana keputusan STPM Farah Liyana cukup cemerlang untuk melayakkan Farah Liyana menyambung pelajaran ke universiti terpaksa akur dengan ketentuan Illahi. “ Takpe lah mak, Farah boleh temankan mak kat kampung ni kan. Nanti Farah akan masuk kursus menjahit baju dan Farah akan ambil upah menjahit nanti. Farah boleh tolong mak kan, takde lah mak kerja sorang-sorang nanti” pujuk Farah Liyana.
“Balqis, kalau aku dah takde nanti kau tolong tengokkan mak aku ye. Kau datanglah jenguk dia sebulan sekali ke, aku kesian dekat mak aku tu tambah-tambah Atira belum habis belajar lagi” Farah Liyana cuba menyampaikan pesan kepada Balqis namun Balqis hanya menganggapnya sebagai sebuah gurauan. “Aku tak gurau lah Balqis, ini serius. Kau pun dengar apa yang doktor tu cakap 3 tahun lepas kan?” sambung Farah Liyana. “Farah, aku tahu kau kuat. Kau mampu untuk tempuhi semua ni, lagipun kau makan ubatkan? Doktor tu cakap kalau kau makan ubat, penyakit tu akan pulih kan?” Balqis inginkan kepastian samada Farah Liyana mengikut saranan doktor itu atau tidak. Farah Liyana hanya menggelengkan kepalanya, “aku dah berhenti makan ubat setengah tahun yang lepas, aku tak nak mak aku tau yang aku tengah sakit. Aku nak mak aku nampak aku seorang yang kuat, kalau aku makan ubat, nanti mak aku akan tanya macam-macam dan aku taknak mak aku risaukan aku. Biarlah aku melalui semua keperitan tu sendiri”. “Kau tak boleh lah macam ni Farah, kau tak sayang mak kau ke? Kita pergi hospital ambil ubat nak?” pujuk Balqis. “Sebab aku sayang mak aku lah aku tak nak dia tahu penderitaan aku selama ni. Pergi hospital pun tak guna Qis, ubat yang hospital bagi tu pun hanya untuk melenggahkan penyakit aku ni saja. Biarlah Qis, ajal maut di tangan Allah. Aku hanya berserah kepadaNYA. Qis nanti kau tolong bagi surat ni pada mak aku ye, bila aku dah tiada nanti” tenang sahaja wajah Farah Liyana yang seakan sudah pasrah dengan apa yang menimpa dirinya. Balqis mula sebak apabila mengenangkan bahawa dia akan kehilangan sahabat karibnya itu pada bila-bila masa sahaja. “Farah, aku sayang kau. Kaulah sahabat karib aku dunia dan akhirat” Balqis memeluk erat tubuh Farah Liyana. “Balqis, janganlah macam ni. Aku ada bersama kau lagi sekarang ni kan. Aku pun sayang kau” pujuk Farah Liyana.
Berita Farah Liyana pengsan di gerai ibunya pagi tadi telah sampai ke telinga Balqis yang kini berada di kampus. Balqis berasa amat terkejut dengan berita yang disampaikan oleh ibunya itu, ‘adakah secepat ini KAU mahu mengambil kawanku YA ALLAH’. Baru seminggu lepas mereka bersuka ria bersama semasa Balqis pulang bercuti semester di kampungnya. Balqis terpaksa tidak pergi ke kuliah semata-mata mahu pulang ke kampung untuk melihat keadaan sahabatnya itu. Walaupun telah dihalang oleh ibunya, “Qis, kamu tak payah balik kampung lah. Farah tu demam je, sebab tu pengsan. Mak si Farah yang bagitahu mak tadi. Kamu pergi je kuliah tu, kuliah tu untuk masa depan kamu kan.” Balqis tetap mahu pulang ke kampung, menurut firasatnya Farah Liyana bukan demam biasa.
Setibanya di hospital “makcik, Farah mana? Dia dah sedar ke? Doktor cakap apa” soal Balqis bertalu-talu kepada ibu Farah Liyana yang sedang asyik menangis. “Farah ada dekat dalam bilik tu, dia masih tak sedarkan diri. Doktor tak benarkan sesiapa pun masuk dalam bilik tu, mereka hanya benarkan kita melihat Farah dari cermin kaca ni saja. Makcik sedih sangat sebab makcik sebagai ibunya pun tak dibenarkan masuk, apa lah salahnya kalau makcik nak temankan Farah. Kesian Farah sorang-sorang kat dalam tu” tersedu-sedu ibu Farah Liyana meluahkan apa yang terbuku di hatinya semenjak tadi. “Makcik sabar ye, saya tahu Farah cukup kuat untuk tempuhi semua ni” pujuk Balqis. “Farah tu demam biasa saje, kenapa mereka letak dia dalam bilik tu?” sambung ibu Farah Liyana lagi. “Makcik, sebenarnya Farah……” tiba-tiba Balqis teringat pesanan Farah Liyana minggu lepas, “kau jangan bagitahu mak aku pasal penyakit aku ye, aku taknak dia susah hati nanti. Biarlah mak aku tahu semua penderitaan yang aku lalui selama ni melalui surat ni, kau bagi surat ni pada mak aku selepas pengkebumian aku nanti ye. Aku percayakan kau Balqis, kau sahabat aku dunia dan akhirat”. Balqis hanya mampu menangis tanpa menyambung kata-katanya dan berlari ke tandas bagi mengelakkan ibu Farah Liyana mengetahui perkara sebenar.
“Assalamualaikum, Tira bila nak balik kampung? Kakak masuk hospital ni. Dah dua hari koma, Tira balik jengkuk kakak ye sayang” sebak ibunya menyampaikan keadaan Farah Liyana kepada Atira Liyana. “Waalaikumussalam, Tira sibuk lah mak. Peperiksaan dah dekat ni, Tira kena ulangkaji lagi, buat kertas kerja lagi, banyak hal lah mak. Tira tak boleh balik, lagipun duit tambang takda nak balik. Kakak sakit apa mak?” pelbagai alasan yang dicipta Atira. “Kakak demam panas, dah dua hari tak sedarkan diri ni. Mak risau sangat, dah dua hari mak tak berniaga kuih ni” luah ibunya. “Mak tak payah risaulah, esok lusa kakak sedar lah tu. Lagipun dekat hospital tu kan ada doktor dan jururawat yang boleh tengokkan kakak. Mak pergi ja berniaga tu, kalau mak tak berniaga mana nak dapat duit kan? Oklah mak, Atira banyak kerja ni. Kalau ada apa-apa nanti mak bagitau Atira k. Assalamualaikum mak.” Tanpa sempat ibunya menjawab salam, talian telefon telah dimatikan. “Waalaikumussalam, Kamu sangat berbeza dari kakak kamu Atira, kakak kamu sangat baik dan sangat sopan dalam berbicara” keluh ibunya.
Selepas 5 hari koma, barulah Farah Liyana sedarkan diri. Sekali lagi Balqis datang melawat, “Farah, macam mana keadaan kau sekarang? Apa yang kau rasa sekarang?” soal Balqis. “Kau ni dah macam polis pulak aku tengok, aku ok saja lah. Aku pening pagi tadi, tu yang rasa macam nak pitam tu” Farah Liyana cuba menceriakan keadaan. “Apa Farah? Pagi tadi? Farah, kau tahu tak dah 5 hari kau koma dekat hospital ni. Bukannya pagi tadi atau semalam kau pengsan, tapi 5 hari lepas” Balqis cuba memberitahu Farah Liyana tentang keadaan yang sebenar. Farah Liyana sangat terkejut dan tidak menyangka bahawa selama 5 hari dia telah koma, “mak aku mana? Dia dah tahu ke aku sakit apa? Doktor dah bagitahu mak aku ke Balqis” soal Farah Liyana cemas. “Mak kau baru je balik rumah, aku yang suruh dia balik. Kesian aku tengok dia 5 hari duduk sini jaga kau. Gerai dia pun dah tak buka-buka, orang kampung asyik bertanya bila mak kau nak mula berniaga balik. Semua rindukan nasi lemak mak kau, semua orang kampung pakat mengidam nasi lemak mak kau tahu tak?” Farah Liyana tergelak kecil mendengar gurauan Balqis itu. “Yeay, kau dah mula ketawa. Maksudnya kau dah semakin sihat lah kan, kau nak tengok tak gambar kau masa kau koma dulu. Banyak tau aku rakam, bukan saja gambar, video pun ada tau” cadang Balqis sambil mengeluarkan telefon bimbit dari poket seluarnya. Mereka berdua ketawa gembira melihat apa yang dirakamkan oleh Balqis pada 5 hari lepas semasa hari pertama Farah Liyana dimasukkan ke hospital ini.
Sebulan berlalu, namum apa yang diperkatakan oleh doktor semasa Farah Liyana berada di dalam wad masih terngiang-ngiang di telinganya. Menurut pihak hospital, penyakit Farah Liyana sudah mencapai tahap akhir, iaitu tahap bahaya. Sel-sel darah putih Farah Liyana semakin banyak dan sel-sel darah merah semakin berkurang, badan Farah Liyana akan menjadi semakin lemah dan rambutnya pula semakin gugur menipis. Farah Liyana terpaksa sentiasa mengikat rambutnya bagi mengelakkan ibunya sedar akan perubahan rambutnya itu. “Mak, lepas ni kalau ada orang kampung nak tempah baju, mak tak payah ambil tempahan tu ye. Farah rasa macam nak berhenti menjahit lah mak, Farah nak tolong mak dekat gerai” dalih Farah Liyana. “Terpulang kamu lah Farah, mak ikut kan saja. Mak lagi suka kalau kamu tolong mak dekat gerai tu, takda lah mak kerja sorang-sorang dekat gerai kamu pula kerja sorang-sorang dekat rumah. Kalau apa-apa jadi dekat kamu nanti, senang mak ada je” sambut ibunya. “Farah sihat mak, tak kan ada apa-apa jadi dekat Farah lagi mak. Mak jangan risau ye” balas Farah, pada masa yang sama ibunya mengusap rambut Farah dan mendapati beberapa helai rambut Farah terlekat di jarinya. “Kenapa rambut kamu banyak gugur ni Farah?” soal ibunya cemas. Farah terkejut dengan apa yang dilakukan oleh ibunya sebentar itu tadi sambil cuba mencari alasan yang kukuh, “syampoo tu mak, Farah kan baru tukar syampoo rambut. Sebab tu rambut Farah banyak gugur, kulit kepala Farah tak tahan dengan bahan kimia syampoo tu kot. Takpelah mak, nanti Farah tukar syampoo rambut yang lama balik lah. Mak jangan risau ye.” Ibunya hanya menganggukkan kepala tanda setuju.
Selang dua bulan selepas kejadian itu, sekali lagi Farah Liyana pengsan dan koma. Pada ketika ini, doktor sudah tidak mampu untuk berbuat apa-apa kerana tubuh Farah Liyana semakin lemah dan sel-sel darah putihnya sudah memenuhi di segenap ruang tubuhnya. Farah Liyana sudah tidak dapat diselamatkan lagi, pihak hospital terpaksa memberitahu perkara sebenar kepada ibu Farah Liyana. “Saya harap puan dapat bersabar dengan ketentuan Illahi, Farah seorang gadis yang kuat dan berdikari. Sebenarnya, sudah 3 tahun Farah mendapat penyakit ini dan kebetulan sayalah doktor yang merawatnya 3 tahun dulu semasa penyakitnya ini masih di tahap awal. Saya ada mencadangkan supaya Farah mengambil ubat mengikut masa yang ditetapkan, tetapi menurut sahabatnya, Farah sudah satu tahun tidak mengambil ubat seperti yang saya syorkan. Hal ini menyebabkan sel-sel darah putih beliau semakin cepat merebak. Bersabarlah ya puan, setiap yang berlaku ada hikmahnya” nasihat doktor Muhammad kepada ibu Farah Liyana yang sudah kekeringan air mata untuk menangis lagi. Ibunya sudah tidak mampu lagi untuk menangis mengenangkan penderitaan anaknya selama ini. Ibunya juga berasal kesal kerana tidak mengetahui perkara ini terlebih dahulu. “Farah, kenapa buat mak macam ni sayang? Mak mana yang sanggup melihat anaknya pergi dahulu sebelum dirinya. Farah, andai boleh mak bertukar nyawa dengan kamu, mak sanggup sayang” bisik ibu Farah Liyana di telinganya.
Tanggal 11 Ogos 2011 bersamaan 11 Ramadhan 1432, tiada lagi gadis yang bernama Farah Liyana. Farah Liyana telah dahulu dijemput Maha Penciptanya. Semua tetamu yang hadir bagi melihat wajah terakhir Farah Liyana sebelum dikapankan turut menahan sebak. Sebak mengenangkan gadis yang tampah bersemangat dan kuat itu sebenarnya menyimpan seribu satu penderitaan selama ini. Balqis masih setia membacakan surah Yassin di sisi jenazah sahabat karibnya itu. Selesai sudah majlis bacaan Talkin, Balqis segera menghulurkan surat yang diamanahkan oleh Farah Liyana dahulu. “Makcik, ini surat terakhir Farah Liyana untuk makcik. Maafkan saya makcik kerana tidak memberitahu makcik perkara sebenar dari awal lagi” ucap Balqis teresa-esak. Ibu Farah Liyana mengambil surat tersebut dan membaca setiap tulisan anaknya itu satu-persatu.
Assalamualaikum Mak,
Mak apa khabar? Farah harap mak sentiasa sihat. Mak, terlebih dahulu Farah nak minta maaf dan minta halal makan minum Farah selama ni. Farah banyak tipu mak, tapi Farah bukan sengaja. Farah Cuma tak nak mak susah hati je, sebab Farah sayang mak. Mak, Farah pernah bagitahu mak yang Farah tak layak masuk universiti, tapi sebenarnya kan mak, Farah dapat peluang tu sama macam Balqis. Tetapi dengan adanya penyakit Farah ni, Farah terpaksa bagitahu mak yang Farah tak layak sebab Farah nak menghabiskan sisa-sisa hidup Farah bersama mak.
Mak, sebenarnya Farah takda niat pun nak rahsia-rahsia tentang penyakit ni dari mak. Tapi Farah tahu, mak dapat rasakan yang Farah kurang sihat kan mak? Mak ingat lagi tak masa yang mak tegur kenapa Farah nampak pucat dulu, tapi Farah tipu mak. Farah cakap Frah sihat. Sebenarnya kan mak, masa tu dada Farah ni rasa dicucuk-cucuk sakitnya. Tapi sebab mak, Farah berlakon tunjuk kuat. Farah tak nak susahkan hati mak, cukuplah Farah dah susahkan mak masa Farah kecil-kecil dulu.
Mak, Farah sayang sangat dengan mak. Kalau boleh Farah nak sangat sentiasa ada dekat dengan mak. Sebab tulah, Farah pernah pesan dekat mak supaya jangan ambil tempahan baju lagi. Tapi Farah tipu mak kononya Farah dah tak minat menjahit dan nak tolong mak dekat gerai. Sebenarnya, Farah mengharapkan dapat menghabiskan masa setiap saat bersama mak. Alhamdullillah, sampai ke akhirnya mak sentiasa bersama Farah.
Mak, selepas Farah tiada nanti, mak jangan sedih-sedih ye. Mak buat je macam tiada apa-apa yang berlaku, mak anggap je yang Farah sentiasa ada dengan mak. Farah taknak tengok mak sedih-sedih sebab Farah sayang mak. Walaupun Farah bukan anak yang terbaik tapi Farah tahu, mak tetap sayang Farah kan?
Mak, tolong cakap pada adik yang Farah sayang adik dan tolong pesan pada adik, belajarlah elok-elok dan jangan sia-siakan harapan yang keluarga bagi pada dia. Farah tahu apa yang adik buat selama ni mak, Farah juga tahu kemana adik selalu pergi. Tapi sebab adik adalah harapan mak, jadi Farah tetap beri sokongan pada adik.
Mak, hari raya nanti jangan lupa ziarah kubur Farah ye mak. Mesti masa tu nanti mak nampak cantik dengan baju baru kan, lagipun hari raya dah tak lama lagi. Mak, nanti mak masuk dalam bilik Farah dan buka kotak berwarna biru tu ye. Kat dalam tu ada baju raya mak yang Farah jahit khas untuk mak. Farah nak mak pakai baju tu di hari raya pertama nanti. Walaupun Farah tak sempat nak tengok mak pakai baju tu tapi Farah akan tetap rasa gembira mak.
Lagi satu mak, nanti kalau mak rindu Farah, mak peluklah teddy bear Farah yang kat atas katil tu ye. Mesti mak Nampak comel masa tu kan.. Apa-apa pun mak, Farah sayang mak.. Izinkan Farah pergi dahulu sebelum mak..
Salam sayang…. FARAH LIYANA~~
p/s: cerpen pertama yang aku publish... huhu.. kompem2 la ade banyak kesalahan suku kata kan.. btw, im just trying...